Followers

Tuesday 13 January 2015

Al-Kisah : Hati Aku Pasrah (2)

 Puan Masyitah menyiram sayuran yang ditanam di belakang rumah dengan hati yang gembira. Kebun sayuran mini yang dibina oleh arwah suaminya, Haji Azfar merupakan antara peninggalan beliau, selain rumah yang mereka diami. Kini, kebun itu diusahakan oleh dirinya dan Alifah. Antara sayuran yang ditanam ialah bayam, sawi, kailan, lada, lobak dan tomato. Kesemua sayur yang dipilih adalah pilihan Haji Azfar sendiri. Katanya, kesemua sayur yang dipilih mempunyai khasiat yang banyak. Sebagai guru subjek sains, Haji Azfar benar-benar mengetahui kandungan nutrien dalam sayur tersebut.

  Sayur bayam contohnya, mempunyai kandungan zat besi yang tinggi dan diperlukan supaya darah cepat membeku. Sayur lobak pula merupakan sayur kategori akar dan berwarna oren. Menurut kajian sains, sayuran berwarna oren mempunyai zat untuk mencerahkan mata, membolehkan manusia melihat dengan lebih jelas. Lobak kaya dengan vitamin A dan kerotena yang berfungsi mengelak penyakit rabun malam dan kabur penglihatan. Tomato pula kaya dengan vitamin C bagi mencegah penyakit gusi bengkak.

  Puan Masyitah ketawa kecil. Teringat peristiwa ketika Alifah masih kecil. Pada mulanya, Alifah juga sama seperti kanak-kanak lain : tidak suka makan sayur. Namun, setelah terpengaruh oleh kartun popular, Popeye The Sailorman yang menjadi kuat setelah makan bayam dalam tin, dia mula memakan sayur. Itu pun bayam sahaja. Sehinggalah dia mengadu tidak mampu melihat apa yang ditulis oleh guru pada papan hitam, Haji Azfar 'memaksanya' makan lobak dan sayuran lain. Mujurlah, Zinnirah tidak cerewet tentang makanan.

  "Eih, Kak Mas. Assalamualaikum. Sihat?" Jiran Puan Masyitah, Puan Safiah menegur.
  "Waalaikumussalam. Alhamdulillah Piah. Sihat je. Ni tengah beriadah sikit, siram sayur-sayur. Nampak macam dah layu je. Maklumlah, sekarang musim panas." Puan Masyitah meneruskan kerjanya yang masih berbaki.
  "Ouh, Alifah mana? Dah lama saya tak nampak dia. Rindu jugak nak sembang -sembang dengan dia. Maklumlah, pandai ambil hati. :)" ujar Puan Safiah sambil mengeluarkan sapu tangan dan mengelap manik-manik peluh yang terdapat di dahi. Panas!
  " Alifah pergi jemput si Zinnirah dari tadika. Sekejap lagi sampailah tu." Puan Masyitah meletakkan penyiram di atas tanah. Alhamdulillah selesai. "Kamu ni dari mana Piah? Macam jauh berjalan."  Pandangan Puan Masyitah tertancap pada kotak yang dikelek Puan Safiah. Cantik balutannya.
  "Haah kak. Saya dari pekan tadi. Dari pejabat pos. Anak saya, Muadz kirimkan barang dari Kuala Lumpur. Ni ha.." Kotak yang dikelek tadi ditunjukkan kepada Puan Masyitah. Hadiah kasut, Puan Masyitah menduga.

  "Eh, saya dah lewat ni. Minta diri dulu ya, Kak Mas." Puan Safiah menghadiahkan sekuntum senyuman kepada Puan Masyitah dan melangkah pergi.

  Puan Masyitah menghela nafas berat. Muadz sudah pun menjejakkan kaki ke IPT. Anak sulung Puan Safiah itu sebaya dengan Alifah, namun Muadz lebih bernasib baik. Muadz kini mengambil asasi Perakaunan di sebuah universiti. Puan Masyitah sebak. Dalam fikirannya terbayang wajah Alifah. Anak gadisnya itu sepatutnya sudah menjejakkan kaki ke menara gading. Namun dek kesempitan wang dan peluang, dia terpaksa melupakan perkara itu.

  Air mata Puan Masyitah menitis. Mutiara jernih itu dibiarkan mengalir tanpa diseka. Alifah dah banyak berkorban untuknya. Terlalu banyak. Duit peninggalan arwah suaminya banyak digunakan untuk membiayai kos perubatannya. Apabila dia mengatakan bahawa duit tersebut adalah untuk membiayai pelajaran Alifah di IPT, Alifah akan menjawab:

"Ibu, arwah ayah tinggalkan duit ni untuk kita semua. Ada bahagian untuk ibu, ada bahagian untuk Ifah dan ada bahagian untuk Irah. Sekarang ni, Ifah gunakan bahagian Ifah untuk bayar kos ubat ibu."

Puan Masyitah menundukkan pandangan. Terlalu sebak mendengar kata-kata anaknya. Tidak ubah seperti arwah suaminya, Alifah sentiasa mengutamakan kepentingan orang lain berbanding kepentingan sendiri. Kerana itu juga, Alifah terpilih sebagai Pelajar Contoh di sekolah. Dia juga merupakan Timbalan Pengerusi bagi Kelab Bimbingan Rakan Sebaya. Alifah, sememangnya seorang anak yang istimewa.

Tangan Puan Masyitah digenggam. Puan Masyitah mengangkat wajah, memerhati wajah mulus anaknya. Mata anaknya memerah, cuba sedaya upaya menahan empangan air mata daripada pecah.
"Ibu, ibu adalah segala-galanya bagi Ifah dan Irah. Kalau ibu takde, kami dah takde tempat bergantung. Sebab tu, Ifah rela gunakan duit ayah demi ibu. Ifah sangat-sangat sayang kan ibu." Air mata tidak mampu ditahan, jatuh di atas tangan Puan Masyitah.

  Bunyi hon kereta menyedarkan Puan Masyitah daripada lamunan. Astaghfirullahalazim.. Tekaknya berasa perit. Tanpa rela, Puan Masyitah batuk, menghilangkan rasa perit di tekak. Tangan kanan menutup mulut secara refleks. Perit di tekak semakin membara. Darah pekat mengalir menuruni tangan kanan. Ahh!!

 "Assalamualaikum ibu." Alifah dan Zinnirah serentak memberi salam. Puan Masyitah kaget. Anak-anaknya tidak boleh melihatnya dalam keadaan sebegini. Tergesa-gesa, Puan Masyitah meluru masuk ke dalam rumah. Alifah dan Zinnirah memandang kehairanan.

Kenapa ibu tidak menyapa dan bersalaman seperti biasa?

Dan ibu seperti menyembunyikan sesuatu..

No comments:

Post a Comment